KOTA BHARU – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Ketereh itu terpaksa dikejarkan ke hospital tersebut selepas mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit dada, menurut laporan beberapa media tempatan pada Sabtu.
Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu dimasukkan ke HUSM kira-kira pukul 6 pagi namun dilaporkan sudah semakin stabil dan kini sedang berehat di wad CCU hospital tersebut.
Abangnya, Abdul Sattar berkata, keadaan Annuar didapati tidak begitu membimbangkan tetapi adiknya itu masih perlu lagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital tersebut dalam masa terdekat.
Jelas beliau lagi, Annuar segera dimasukkan ke hospital berkenaan selepas waktu Subuh pagi Sabtu selepas mengadu dirinya mengalami sakit dada, muntah dan pening kepala.
“Alhamdulillah keadaan Annuar kembali stabil. Atas nasihat doktor, pelawat terpaksa dihadkan kepada keluarga terdekat sahaja bagi membolehkannya berehat,” kata Abdul Sattar.
Dalam pada itu, pegawai media Annuar, Zian Johari memaklumkan bahawa doktor menasihatkan pemimpin tersebut agar berehat dan pelawat tidak digalakkan buat masa ini.
Doktor yang merawat Pengerusi Majlis Amanah Rakyat berusia 61 tahun itu juga memaklumkan bahawa Annuar kini sudah dalam keadaan stabil. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA