KUALA LUMPUR – “Bagaimanakah nasib negara, kedudukan Islam di Malaysia seandainya mereka berkuasa,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.
Justeru, beliau meminta seluruh umat Islam memikirkan dengan cermat sikap sebenar pemimpin pembangkang ke atas kepentingan kaum Melayu dan Islam di negara ini.
Kata beliau, umat Islam negara ini sepatutnya sudah dapat menilai perkara itu berdasarkan penentangan pembangkang ke atas usaha memperkasakan Mahkamah Syariah kelmarin.
“Rakyat dapat menilai sikap pemimpin pembangkang yang menentang Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355). Fikir dan renungkan.
“Kepada pengundi Melayu yang mengundi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), fikir dan nilailah keputusan anda sebelum ini apakah tepat. Tepuk dada tanya minda yang waras dan jangan diulangi kesilapan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaizan berkata, RUU 355 secara jelas hanya untuk umat Islam dan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia.
Namun, tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan pemimpin pembangkang lain termasuk pemimpin Melayu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menentang RUU 355 membuktikan mereka anti-Islam dan cuba mencabul kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tegas beliau, pemimpin pembangkang terbabit malah boleh dianggap mencabar titah Yang Dipertuan Agong sebelum ini yang mahukan institusi serta sistem perundangan Islam dimartabatkan.
“Rakyat Malaysia dapat melihat dan menilai dengan jelas kenyataan Kit Siang sebelum ini yang kononnya beliau menghormati orang Melayu berbanding pemimpin UMNO berdasarkan tindakannya di Parlimen.
“Seorang yang mendakwa ‘mesra Melayu’ berhabis-habisan menentang pembentangan RUU 355 khusus untuk mengangkat sistem perundangan Islam dan majoriti umat Islam di negara ini adalah berbangsa Melayu. Kenapa seorang pemimpin yang menafikan dakwaan kononnya beliau anti Islam menghalang sekeras-kerasnya RUU 355,” katanya.
Presiden PAS semalam membentangkan RUU 355 di Parlimen yang bertujuan meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah termasuk meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas umat Islam yang berzina dan minum arak.
Perbahasan RUU 355 yang sepatutnya diadakan selepas pembentangan itu ditangguhkan pada sesi akan datang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran provokasi melampau Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam membantah RUU 355.
Pakatan Harapan yang diketuai parti sekular DAP bersama anggota partinya PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) menentang hebat usaha tersebut sejak tahun lalu.
DAP pernah mendakwa RUU 355 merupakan strategi halus PAS untuk melaksanakan hukum Islam hudud yang zalim, kuno dan tidak bertamadun di negara ini.
PKR dan PAN pula mendakwa RUU 355 tidak boleh dibenarkan kerana ia mengelirukan dan menimbulkan keresahan umat bukan Islam.
Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut mengkritik RUU dengan berhujah Islam melarang menangkap dan menghukum umatnya yang berzina selagi zina itu dilakukan secara sembunyi-sembunyi seperti dalam bilik atau rumah yang berkunci. – MYNEWSHUB.CC