KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) daerah Kota Kinabalu merampas kira-kira 200 kilogram ikan pelbagai jenis dipercayai ditangkap menggunakan bom ikan awal pagi tadi.
Pengarah APMM Daerah Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz dalam kenyataannya hari ini berkata rampasan berkenaan dibuat kira-kira 0.2 batu nautika dari Kampung Pondo, Pulau Gaya.
Turut dirampas dalam operasi 12.40 pagi itu ialah dua buah pump bot serta peralatan dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan.
āSemasa melakukan operasi bot ronda APMM telah mengesan bot terbabit yang tiada nombor pendaftaran di dalam keadaan mencurigakan. Semasa bot ronda APMM cuba menghampiri, tekong bot tersebut memecut laju menuju ke persisiran Kampung Pondo untuk melarikan diri dan meninggalkan pump bot mereka tersadai,ā katanya.
Menurut Adam, tekong dan awak-awak bot berkenaan melarikan diri dengan terjun ke laut sebelum berenang ke kawasan cetek dan hilang di kawasan paya bakau.
Katanya APMM memandang serius aktiviti pengeboman ikan ini dan telah mengarahkan aset-aset di lapangan agar melakukan rondaan lebih kerap bagi mengekang aktiviti itu untuk memastikan ekosistem flora dan fauna di dasar laut sentiasa terpelihara.
Beliau berkata aktiviti bom ikan juga boleh mengundang bahaya kepada komuniti maritim lain khususnya mereka yang melakukan aktiviti penyelaman di laut. – BERNAMA