WANITA berusia 58 tahun yang dirakam dilanggar lari seorang penunggang motosikal ketika cuba melintas jalan, disahkan telah meninggal dunia, kira-kira jam 8.45 malam tadi.
Mangsa, Foo Swee Wah menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang dirawat di zon merah wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP), lapor Harian Metro.
Baca: Video: Cabut Lari Lepas Langgar Aunty Lintas Jalan
Dalam kejadian tengah hari semalam, mangsa dilaporkan dilanggar seorang penunggang motosikal jenis Honda RS150 ketika sedang melintas di Jalan Burma, Georgetown.
Akibat rempuhan itu, mangsa dilaporkan cedera parah setelah tercampak dan tersembam di atas jalan raya.
Sementara itu, penunggang terbabit dilihat tidak memberhentikan motosikalanya sebaliknya melarikan diri selepas merempuh mangsa.
Insiden yang menimpa mangsa secara kebetulan turut dirakam menerusi kamera dashboard sebuah kenderaan sebelum menjadi tular di laman sosial.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid meminta penunggang motosikal terbabit menyerah diri sebelum pihak polis mengesan dan menahannya.
Kes disiasat menurut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MYNEWSHUB.CC