PETALING JAYA -Pelakon Azrel Ismail memberitahu dia lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak pengurusan.
Azrel, 31, berkata, latar belakangnya sebagai seorang pegawai perhubungan awam di beberapa buah hotel terkemuka membuatkan dia mudah untuk berkomunikasi dan merancang kerjaya sehariannya.
“Buat masa ini saya selesa bergerak sendiri sahaja kerana saya tahu apa yang saya akan lakukan setiap hari.
“Lagi pula saya tiada masalah untuk berkomunikasi dengan semua pihak dalam mendapatkan tawaran sebab saya sendiri dahulu seorang pegawai perhubungan awam,” ujarnya kepada mStar Online.
Azrel berkata demikian dalam sesi taklimaat media yang diadakan di Sri Pentas, di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, pelakon drama Menantu Ting Tong ini juga mengakui ada menolak beberapa tawaran pihak pengurusan yang ingin menguruskan kerjayanya.
“Ada juga pihak pengurusan yang datang merisik untuk menguruskan kerjaya lakonan saya tapi buat masa ini terpaksa saya tolak.
“Bukan apa, saya lihat rakan-rakan artis lain yang mempunyai pengurusan sering mengeluh dengan pihak pengurusan mereka. Perkara itu juga membuatkan saya kurang keyakinan untuk mendapatkan khidmat pengurusan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azrel berkata, dia bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Cucu Taukeh Beras bergandingan bersama Zahira MacWilson.
Katanya, banyak pengalaman menarik sepanjang sebulan menjalani penggambaran drama berkenaan.
“Kami menjalani penggambaran di sebuah kampung di Jerteh, Terengganu selama sebulan. Banyak perkembangan manis terutama terpaksa bergelumang dengan sawah bendang buat pertama kalinya,” ujarnya.
Drama yang bakal menghiasi slot Dahlia itu bakal diadakan bagi menggantikan drama Meh Sandar Pada Aku. – mStar Online