KUALA LUMPUR – Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat yang mengambil masa hampir lapan jam hari ini akan bersambung esok, susulan beberapa aspek teknikal yang dipertikai pembangkang.
RUU itu yang antara lain menganggap kanak-kanak sebagai saksi kompeten bagi kes jenayah seksual, dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan diluluskan di peringkat dasar.
Bagaimanapun, ketika RUU itu dibawa ke peringkat jawatankuasa, beberapa anggota parlimen pembangkang mempertikaikan aspek teknikal yang tidak jelas seperti definisi umur, lokasi kejadian jenayah seksual, perkataan ‘mangsa’ dan definisi pornografi kanak-kanak.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee kemudiannya menangguhkan persidangan.
RUU bertujuan melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual ini dicadang terpakai kepada kanak-kanak bawah umur 18 tahun, selaras Akta Kanak-Kanak 2001.
Sidang Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA