DUNGUN – Seorang bapa maut manakala anaknya cedera parah selepas kereta yang mereka naiki dipercayai terbabas dan merempuh besi penghadang jalan dalam kejadian di Kilometer 347, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kuala Dungun, awal hari ini.
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan mangsa Jasni Mohamed, 40, maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala anaknya, Afiq Haikal, 10, parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
Isteri mangsa, Rosmawati Deraman, 35 dan tiga lagi anaknya, Aidil Hakimi Jasni, 14, Nuraina Hazwani Jasni, 7 dan Aqil Hazwan Jasni, 10 bulan, cedera ringan dan dirawat di Hospital Dungun.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas kereta Proton Perdana V6 yang dipandu Jasni dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang jalan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Amri Mohamad berkata enam anggota Bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa selama 15 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, “katanya. – BERNAMA