BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi lelaki dipercayai berusia kira-kira seminggu ditinggalkan di hadapan rumah seorang wanita warga emas di Mengkuang Semarak, Kubang Semang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bayi itu yang dibalut dengan kain batik ditemui Halijah Ariffin, 76, ketika membuka pintu rumahnya selepas terdengar suara tangisan pada pukul 7.45 pagi ini.
Beliau berkata bayi yang tinggalkan tanpa sebarang pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan kesihatan dan akan dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan ibu kandung serta pihak yang meninggalkan bayi lelaki itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Halijah berkata bayi dalam bungkusan kain batik itu ditinggalkan di atas lantai bawah kerusi hadapan rumahnya.
“Masa tu mak cik tengah tengok tv…memang dengar dengan jelas bunyi macam bayi teriak (menangis), mak cik terus buka pintu dan nampak bungkusan dia (bayi) terus panggil jiran sebelah. Mula rasa takut tapi kesian dengar bayi teriak dan mak cik ambil dan riba dia.
“Nasib baiklah bayi itu diletakkan bawah kerusi, bukan apa sini banyak anjing liar takut haiwan itu gigit. Alhamdulilah tengok bayi itu sihat, tali pusat pun dah kering,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini. – BERNAMA