KEPALA BATAS – Bekalan bahan mentah menjelang Ramadan dan Syawal ini adalah mencukupi dan boleh didapati di pasar-pasar tani di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak.
Beliau berkata terdapat 668 pasar tani di seluruh negara yang menawarkan pelbagai bahan mentah dengan harga yang lebih rendah antara lima dan 20 peratus berbanding pasar biasa.
“Bekalan bahan mentah seperti ayam, daging, ikan, telur serta sayur-sayuran adalah mencukupi dan harga yang ditawarkan juga dijangka stabil,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kuasai Wang Kuasai Keuntungan anjuran FAMA di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan peniaga di pasar tani supaya mempamerkan tanda harga, gred produk dan membuat pelabelan pada setiap produk yang dijual.
“Jika mereka (peniaga) tidak memaparkan tanda harga dan label produk, FAMA akan mengambil tindakan tegas sama ada memberikan mata demerit atau menamatkan penglibatan mereka dalam pasar tani,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata jualan yang dijana di pasar tani bagi 2016 ialah RM1.8 bilion.
“Bagi tahun ini, kami menjangka mampu menjana hasil melebihi RM2 bilion, ” katanya. – BERNAMA