SINGAPURA – Pasangan beregu lelaki utama negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan mengetuai cabaran Malaysia pada pusingan kedua Terbuka Singapura, selepas hampir melepaskan peluang mereka, di sini malam ini.
Gandingan itu akan disertai pemain bebas, Zulfadli Zulkifli dan satu lagi pasangan beregu lelaki, Ong Tew Sin-Teo Ee Yi yang mara ke pusingan kedua, awal hari ini.
V Shem-Wee Kiong tumpas di set pertama 20-22 kepada pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin walaupun mendahului 19-15, namun berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan selepas mencatat kemenangan 21-15 di set kedua.
Pasangan negara itu mendahului 17-10 dan kemudian 19-14 di set penentuan, sebelum hilang tumpuan sehingga membenarkan lawan mereka merapatkan kedudukan kepada 18-20, sebelum meraih kemenangan 21-18 dalam masa 52 minit perlawanan.
Mereka akan berdepan pasangan ‘bidan terjun’, Tan Boon Heong-Hendra Setiawan (MAS/INA) yang menewaskan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand 21-14, 21-19 dalam masa 29 minit pada aksi pusingan pertama.
Zulfadli, juara remaja dunia 2011, pula mara ke pusingan kedua acara perseorangan lelaki, selepas menumpaskan pemain Taiwan, Hsu Jen Hao 21-13, 21-14.
Pada pusingan kedua, Zulfadli akan berdepan Vincent Wong dari Hong Kong, yang mencipta kejutan menumpaskan pilihan ketiga yang juga pemain nombor dua dunia, Viktor Axelsen dari Denmark, 21-15, 21-15.
Sementara, Yew Sin-Ee Yi hanya mengambil masa 30 minit untuk menempah tempat di pusingan kedua acara beregu lelaki selepas mengalahkan pasangan India, Arjun M.R.-Ramchandran Shlok 21-17, 21-17.
Yew Sin-Ee Yi, bagaimanapun bakal berdepan tugas sukar apabila dijadual bertemu beregu nombor satu dunia dari China, Li Junhui-Liu Yuchen, esok.
Pasangan China itu mara selepas menewaskan Mohammad Ahsan-Rian Agung Saputra dari Indonesia 21-13, 21-15 di pusingan pertama.
Cabaran beregu wanita Malaysia berakhir hari ini, setelah pasangan beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei ditunjuk jalan keluar oleh gandingan Taiwan, Hsu Ya Ching-Wu Ti Jun apabila tumpas 22-20, 18-21, 12-21.
Mereka mengikut jejak langkah rakan senegara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen, yang tewas masing-masing kepada Anggia Shitta Awanda-Ni Ketut Mahadewi Istarani dari Indonesia 19-21, 21-14, 20-22, dan pasangan India, Ashwini Ponnappa-Reddy N. Sikki 19-21, 19-21.
Goh Jin Wei, wakil tunggal Malaysia dalam acara perseorangan wanita, turut menerima nasib sama walaupun memberikan tentangan sengit apabila terpaksa akur kepada pilihan kedua, Sung Ji Hyun dari Korea Selatan.
Jin Wei tumpas 16-21, 21-19, 13-21. – BERNAMA