MOGADISHU – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh apabila sebuah bom kereta meletup di luar pangkalan tentera di Mogadishu, Somalia termasuk beberapa penumpang dalam sebuah van yang turut musnah dalam satu kejadian pada Ahad, menurut seorang pegawai tentera.
Angka kematian mungkin meningkat memandangkan terdapat sebuah bas mini turut musnah dalam insiden letupan itu.
“Seramai 15 orang kebanyakannya orang awam maut dalam insiden letupan itu,” kata pegawai tentera Mejar Hussein Nur.
“Kami tidak dapat mengetahui angka sebenar mangsa yang terkorban termasuk anggota tentera dan pengawal keselamatan swasta,” katanya.
Bom kereta itu dipercayai menyasarkan pegawai kanan yang meninggalkan pangkalan tentera dalam konvoi.
Jurucakap operasi ketenteraan Abdiasis Abu Musab berkata, kumpulan militan al Shabaab dipercayai menjadi dalang di sebalik serangan.
“Bom kereta dilakukan pengebom bunuh diri itu menyasarkan pegawai kanan tentera tetapi mereka bernasib baik kerana kereta mereka berpatah balik seminit sebelum letupan,” kata seorang pegawai tentera Mejar Abdikadir Hussein. – BERNAMA