MALANG menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun apabila dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat 17 kediaman datuknya di Chow Kit, dalam kejadian jam 5.46 pagi tadi.
Memetik laporan Harian Metro, kanak-kanak itu yang dijaga datuk dan neneknya, dikatakan bangun dari tidur dan berjalan keluar ke balkoni.
Balkoni dipercayai tidak ditutup ketika kejadian berlaku.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Zaman, pemeriksaan di lokasi mendapati pintu balkoni terbuka.
“Polis menemui dua kerusi di balkoni dipercayai digunakan mangsa untuk memanjat ke atas besi penghadang sebelum terjatuh.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan dipercayai tiada sebarang unsur jenayah,” katanya. – MYNEWSHUB.CC