MANILA – China boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam megendurkan ketegangan yang sedang memuncak di Semenanjung Korea, yang menjadi tumpuan besar di wilayah ini sekarang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata ASEAN perlu mencari jalan dan cara untuk mengurangkan ketegangan yang kegusaran awam atau nuklear bukanlah merupakan suatu perkara baik kerana kebimbangan awam boleh menjadi salah dan boleh menjadi bencana yang sukar dibayangkan,.
“Melihat kepada pelbagai pilihan termasuk sama ada China boleh memainkan peranan lebih besar untuk memujuk Korea Utara bagi mengubah kedudukannya yang agak agresif dan lebih menurut harapan komuniti global.
“Dan kembali kepada rundingan enam pihak atau setidak-tidaknya berhenti melancarkan peluru berpandu buat seketika pada masa sekarang,” katanya apabila ditanya tentang maklum balas pemimpin ASEAN mengenai isu di Semenanjung Korea, pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 di sini.
Rundingan enam pihak antara Korea Selatan, Korea Utara, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Rusia bertujuan mencari penyelesaian kepada keamanan dan keselamatan berhubung program nuklear Korea Utara.
Katanya banyak pihak telah melahirkan kebimbangan dengan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea termasuk Filipina.
“Kita berharap pihak pihak yang berkenaan yang ada pengaruh di sana dapat memainkan peranan supaya Korea Utara tidak melakukan provokasi yang berlebihan sehingga berlaku satu kejadian yang tidak diingini nanti,” kata Najib.
Isu Korea Utara menjadi tumpuan utama pada Sidang Kemuncak yang diadakan di Metro Manila.
Terdahulu tuan rumah persidangan Presiden Rodrigo Duterte turut melahirkan rasa prihatinnya dengan berkata ASEAN bimbang dengan isu Korea Utara.
Beliau menekankan hakikat bahawa mangsa pertama kepala peledak nuklear ialah Asia dan ASEAN.
Oleh itu ia bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) yang memegang tongkat besar untuk berhati-hati dan sabar, kata Duterte pada sidang media.
“AS perlu berhati-hati dan bersabar dalam berhadapan dengan Korea Utara yang pemimpinya beria-ia untuk melepaskan peluru berpandunya,” katanya dan menambah beliau sedang menunggu panggilan telefon daripada Presiden AS, Donald Trump.
“Siapa saya untuk beritahu, kamu perlu hentikan, tetapi saya hanya akan katakan Tuan Presiden tolong pastikan tiada peperangan kerana wilayah saya akan menderita dengan teruk,” kata Duterte.
Menurut laporan, kedua-dua pemimpin tersebut berbual sekitar 11 malam pada Sabtu yang butiran perbualan mereka tidak diperoleh setakat ini.
Sementara itu Najib menegaskan pendirian Malaysia berhubung Kod Tatalaku (CoC) dan berharap ia akan diperhalusi dan diterima menjelang akhir tahun ini.
“CoC akan menjadi ikatan sah kepada semua pihak bagi memastikan keamanan dan kestabilan berterusan di Laut China Selatan,” katanya.
CoC dicetuskan susulan wujud tuntutan bertindih pada sesetengah kawasan di Laut China Selatan. – BERNAMA