JASIN – Masyarakat perlu mendapatkan maklumat yang tepat bagi memastikan kesahihan sesebuah berita di media baharu terutamanya media sosial bagi mengelak penularan berita palsu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata kemunculan media baharu menyebabkan perubahan landskap masyarakat yang begitu ketara sehingga mampu membawa bencana sekiranya disalah tafsir berdasarkan agenda pihak tertentu yang berkepentingan peribadi.
Katanya seiring dengan perkembangan globalisasi, media yang merupakan medium komunikasi penting dalam menyalurkan informasi yang tepat, kini menjadi lebih kompleks dengan berkembangnya media sosial.
“Justeru masyarakat perlu dididik untuk mengenal pasti sesuatu isu dengan menyemak kesahihan maklumat yang diterima bagi mengelakkan penyebaran berita palsu,” katanya pada majlis perasmian Karnival Gegau Sehati@RTM di Stadium Jasin di sini, malam tadi.
Karnival itu, yang turut dianjurkan Majlis Perbandaran Jasin, Japerun Rim dan Tourism Melaka, diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-71 Radio Televisyen Malaysia (RTM) peringkat negeri.
Pelbagai program diatur sepanjang karnival itu yang merangkumi aktiviti riadah, kebajikan, keagamaan, kemasyarakatan dan hiburan antaranya pertandingan masakan, gubahan bunga, futsal, dan sukan rakyat serta diserikan dengan kehadiran skuad bola sepak Melaka United.
Mengulas lanjut, Idris berkata kebergantungan masyarakat terhadap teknologi semakin meningkat dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara maju pada 2020.
“Namun masyarakat diminta tidak mudah hanyut dengan kemajuan teknologi pemodenan pesat yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, Idris menggesa semua media termasuk RTM agar mengamalkan prinsip penyiaran sebagai penyalur maklumat yang mengamalkan dasar seimbang, tepat dan muktamad. – BERNAMA