KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,400 aduan diterima dan diselesaikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui aplikasi KLCares sejak ia dilancarkan pada Julai 2015 hingga Mac tahun ini.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Khalid Zakaria berkata pengguna boleh membuat aduan serta memuat naik gambar dan lokasi aduan bagi memudahkan urusan aduan mereka melalui aplikasi yang boleh dimuat turun di Google Play Store atau sistem IOS bagi produk Apple.
Beliau, bagaimanapun berkata terdapat pengguna yang tidak boleh log masuk ketika ini berikutan versi baharu aplikasi itu sedang dinaik taraf oleh kontraktor DBKL bagi menambah baik komponen pemetaan dan server pangkalan data.
“Sementara bagi pengguna sistem operasi IOS (produk Apple seperti iPhone atau iPad), aplikasi ini tidak dapat diakses ketika ini kerana sedang dalam proses pembaharuan lesen tahunan oleh pihak Apple,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid berkata masalah itu dijangka selesai dalam masa terdekat dan pengguna dinasihatkan menaik taraf aplikasi apabila ia tersedia kelak.
Katanya pembangunan aplikasi itu dengan kos RM80,000 meliputi aspek reka bentuk dan pembangunan serta diintegrasikan dengan sistem aduan bersepadu (iSPAAA) yang dibangunkan oleh Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri.
Sistem iSPAAA merupakan sistem pengurusan aduan bersepadu yang turut digunakan oleh agensi kerajaan. – BERNAMA