SEMPORNA – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan dua lelaki, termasuk seorang remaja warga Indonesia, ketika cuba menyeludup masuk 500 kilogram ikan pelbagai jenis dari Indonesia tanpa permit sah ke daerah ini, semalam.
Pemangku Komander PPM Wilayah Empat Sabah Supt Norzaid Mohammad Said berkata dalam operasi di kawasan laut Kampung Tampi-Tampi kira-kira 7.20 pagi itu, anggota PPM terserempak dengan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan bot serta kedua-dua suspek tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
“Juragan berusia 53 tahun bersama anak perahunya, seorang remaja lelaki Indonesia berusia 19 tahun, ditemui bersama pelbagai jenis ikan yang diisi di dalam lima peti ikan tanpa permit sah dari Indonesia untuk dibawa ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Norzaid berkata juragan itu ditahan mengikut Akta Perikanan manakala remaja Indonesia itu ditahan menurut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, bot dan kesemua peti ikan yang dirampas itu bernilai RM14,500.
Kesemua tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Pangkalan Marin Semporna untuk tindakan lanjut. – BERNAMA