MASIH ingat lagikah pada Edlin Abdul Rahim (Edlin) yang popular menerusi rancangan Akademi Fantasia musim ke-2 (AF2) dahulu?
Setelah lama menyepi dalam dunia hiburan tempatan, Edlin kembali mencuri tumpuan bukan kerana kembali aktif dalam dunia seni, tetapi kerana dia kini sah menjadi isteri orang.
Dengan dua kali lafaz, Edlin, 33, sah menjadi isteri kepada Nik Shahril Nik Ibrahim, 44, dalam satu majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Asy-Syakirin, KLCC pada 7 April lalu dan dihadiri oleh rakan-rakan dan ahli keluarga rapat mereka.
Menurut Edlin, mereka tidaklah bercinta bagai nak rak pun sebelum berkahwin kerana pada awalnya mereka hanya kawan biasa.
“Kami sudah lama saling mengenali, tetapi mulai serius sejak dua tahun lalu. Kami juga tidak bertunang, sebaliknya hanya majlis merisik dilakukan,” kata Edlin.
Malah, menurut Edlin, hubungan mereka lebih kepada cara tradisional kerana mereka tidak pernah bergayut telefon atau keluar ke sini ke sana berdua dan juga jarang berjumpa.
Kata Edlin, mereka lebih senang begitu kerana daripada awal lagi mereka telah berniat untuk bercinta selepas nikah yang sudah tentu lebih indah dan manis.
Oleh kerana telah lama ‘hilang daripada radar’ dunia seni, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah perkembangan terbaru si genit ini.
Sebenarnya, Edlin kini menumpukan perhatian sepenuhnya dalam menguruskan syarikat teknologi maklumat milik bapanya.
Terubat sedikit kerinduan kami terhadap zaman-zaman kegemilangan AKademi Fantasia dahulu. Kepada pasangan ini, kami doakan semoga rumahtangga yang dibina berkekalan sehingga akhir hayat,amin! – MYNEWSHUB.CC