KUALA LUMPUR – Kewujudan ‘Gentlemen’s Agreement’ untuk memilih presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 29 April ini menerima kecaman hebat daripada bekas presiden Tan Sri Elyas Omar yang menyifatkan perjanjian itu sebagai ‘pengecut dan tidak demokratik’.
Katanya, sejak pemangku presiden, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria telah jelas menyatakan pendirian untuk menggantikan presiden Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, namun tiada siapa termasuk Majlis BAM mempunyai sebarang hak untuk menghalang kedua-dua pencabar itu untuk mengisi jawatan No.1 dalam badan induk itu.
“Saya terkejut membaca laporan media mengenai perjanjian itu atau langkah anggota majlis untuk bertolak-ansur supaya tiada pertandingan agar salah seorang daripada mereka boleh mengambil alih. Ini hanya menunjukkan mereka tidak berani atau memahami cara mengendalikan sebuah persatuan sukan di mana demokrasi harus diamalkan secara bebas,” katanya hari ini.
“Oleh kerana Mohamed Al-Amin dan Mohamad Norza bersungguh-sungguh mahu menjadi presiden baharu BAM, biarkan mereka bersaing dan memberi hak kepada ahli-ahli majlis memutuskan pilihan mereka,” kata Elyas yang menerajui BAM dari 1985 hingga 1993.
Selain menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan presiden atas faktor kesihatan, Tengku Mahaleel turut memaklumkan ‘gentlemen’s agreement’ itu adalah memberi laluan kepada timbalannya, Mohamad Norza untuk menggantikan tempatnya.
Namun, penamaan calon pengganti presiden dipertikaikan oleh Mohamed Al-Amin yang menafikan beliau terbabit dengan ‘gentlemen’s agreement’ berkenaan dan mahu proses sewajarnya berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu.
Elyas berkata dengan wujudnya sebuah perjanjian atau mengusahakan langkah berkompromi bagi mengelak pertandingan adalah sama seperti memberi tekanan kepada calon untuk menarik diri tanpa kerelaan apabila medan terbaik adalah untuk membenarkan pertandingan berlangsung pada mesyuarat itu.
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur itu juga berkata beliau ‘amat kecewa’ dengan ahli majlis BAM kerana gagal menunjukkan rasa tanggungjawab atau kepimpinan dalam isu berkenaan.
“Ahli majlis sepatutnya menjadi pemimpin akar umbi BAM dan jika mereka bersetuju dengan perjanjian itu dan tidak mahu melihat pertandingan, maka buat apa mereka menduduki kerusi dalam majlis?
“Bagi saya, mereka semua perlu meletak jawatan kerana bagaimana kita boleh mengharapkan mereka untuk membangunkan sukan badminton khusus di peringkat akar umbi. Tidak hairanlah kita tidak mampu membangunkan bakat di peringkat akar umbi,” katanya, merujuk kepada ketandusan pemain potensi seperti pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Di bawah kepimpinan Elyas, Malaysia menjuarai Piala Thomas buat kali terakhir pada 1992. – BERNAMAāāāāāā