KEMAMAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang kurang menyerlah bagi memastikan mereka terus berdaya saing dan berjaya dalam bidang masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata bagi menyokong usaha itu, FAMA menyediakan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman berkaitan cara untuk mengeluarkan produk.
“FAMA juga akan membantu dari segi kewangan atau modal untuk tujuan pembungkusan produk yang lebih menarik atau yang terlibat dengan pemprosesan.
“Kita turut akan menyediakan alat atau mesin yang diperlukan dan membantu pemasaran produk agar jualan mereka sentiasa meningkat,” katanya selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani Wilayah Timur 2017 anjuran FAMA di sebuah pasar raya di sini semalam.
Muhammad Pehimi meminta mana-mana usahawan yang menghadapi masalah agar berhubung atau mendapatkan nasihat melalui pegawai FAMA di daerah masing-masing untuk diberi bimbingan dan cara mengatasinya. – BERNAMA