KUALA LUMPUR – Sempena menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik di antara Thailand dan Malaysia, kedutaan negara itu di sini akan menganjurkan Festival Filem Thailand di Malaysia 2017 (TFFM) yang pertama dari 20 hingga 26 April di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih.
Duta Thailand ke Malaysia Damrong Kraikruan berkata kedutaan itu akan meraikan hubungan diplomatik kedua-dua negara dengan siri acara menarik yang didahului dengan festival filem itu.
“Mengapa filem? Kami percaya filem adalah medium yang amat kuat. Kita semua pasti pernah mendengar yang ‘sekeping gambar membawa seribu makna’. Oleh itu, beribu-ribu gambar dalam filem pasti membawa berjuta-juta makna.
“Ia (filem) adalah medium yang terbaik untuk menghargai pemikiran, cara hidup, budaya dan banyak perkara tentang budaya lain,” katanya pada majlis perasmian festival itu di sini, hari ini.
Dengan menonton filem Thailand yang biasanya menerokai kehidupan rakyatnya, Damrong berkata ia akan mewujudkan pemahaman yang lebih baik dan merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara.
Beliau berkata lima filem Thailand termasuk empat yang dicalonkan dan menerima Anugerah Subannahongsa Negara berprestij baru-baru ini, akan ditayangkan di GSC Pavilion, GSC 1Utama dan GSC Mid Valley Megamall.
“Filem ‘A Gift’, ‘Mr Hurt’, ‘One Day’, ‘Take Me Home’ dan ‘The Crown’ itu akan ditayangkan secara percuma kepada orang ramai,” katanya.
Untuk mendapatkan tiket percuma, orang ramai hanya perlu mengemukakan cetakan atau gambar mana-mana gambar atau artikel TFFM dalam mana-mana penerbitan.
Cetakan atau gambar itu juga boleh diambil daripada catatan dalam talian di laman peminat Facebook TFFM (www.facebook.com/TFFMalaysia) atau daripada saluran digital GSC bagi mendapatkan dua tiket percuma di mana-mana kaunter tiket di tiga pawagam berkenaan.
Festival filem selama seminggu itu dianjurkan Kedutaan Thailand dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Thailand serta Persekutuan Persatuan Wayang Gambar dan Kandungan Thailand. – BERNAMA