KUALA LUMPUR – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Malaysia(JKKN) Selangor menyasarkan kehadiran 7,000 pengunjung ke Festival Nasi Ambeng pada 15 dan 16 April ini yang akan diadakan di Inap Desa Banghuris, Sepang, Selangor.
Pengarahnya Ghazali Bidin berkata sepanjang festival itu pengunjung boleh mengikuti pelbagai program yang hampir keseluruhannya berkaitan dengan nasi ambeng.
“Pengunjung juga berpeluang menikmati secara percuma nasi ambeng pada malam perasmian yang terhad kepada 2,000 pengunjung.
“Selain itu, pertandingan menghasilkan nasi ambeng juga diadakan melibatkan 15 buah inap desa di Selangor,” katanya di satu sidang media di Wisma Bernama.
Festival yang diadakan sejak tahun 2014 itu, bertemakan ‘Yok Mampir’ (jom singgah) akan dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam selama dua hari itu.
Nasi ambeng, juadah tradisi masyarakat Jawa di Malaysia terdiri daripada nasi putih yang dimakan dengan gabungan beberapa juadah lain seperti ayam atau daging kicap, kacang panjang goreng, mi dan suun goreng, ikan masin, serunding kelapa, sambal goreng Jawa dan ulaman.
Kebiasaannya nasi ambeng dihidangkan di dalam dulang untuk empat atau lima orang.
Ghazali berkata festival itu akan menyediakan lebih 30 gerai terdiri daripada peniaga industri kecil dan sederhana, trak makanan, jualan makanan, minuman dan hasil kraftangan.
Beliau berkata permainan tradisional seperti congkak, wau dan teater dalam air juga akan diadakan sepanjang festival itu berlangsung.
“Penyertaan daripada agensi kerajaan dan swasta juga bertambah pada tahun ini termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pertanian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).”
Ghazali berharap ramai yang akan mengunjungi festival itu sebagai galakan untuk menyemarakkan aktiviti kesenian di Selangor seterusnya memperkenalkan nasi ambeng kepada generasi muda. – BERNAMA/HAA