SEORANG wanita yang mendakwa kehilangan buah dada kirinya ekoran pembedahan pintasan jantung di Hospital Serdang, hari ini memfailkan saman RM20 juta terhadap seorang doktar pakar atas dakwaan melakukan kecuaian dalam perubatan.
Lapor sebuah portal tempatan, saman tersebut dibuat menerusi Pertemahwadi Isac melalui peguamnya Arunan Selvaraj di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan doktor pakar kardiotorasik hospital tersebut, Dr. Abdul Muiz Jasid sebagai defendan pertama, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, Pertemahwadi mendakwa tiga daripada saluran arteri di bahagian jantung wanita berusia 56 tahun itu tersumbat dan terpaksa menjalani pembedahan pintasan di hospital tersebut pada 12 Februari tahun lalu.
Selain komplikasi tersebut, wanita yang turut menghidap diabetes itu mendakwa, sebelum dibenarkan pulang pada 24 Februari tahun lalu, dia mengadu kepada defendan pertama mengenai luka di bahagian dadanya.
Luka tersebut kemudiannya telah dijangkiti kuman dan dia telah pergi semula ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan.
Pihak plaintif mendakwa, pihak defendan telah melakukan kecuaian sehingga dia kehilangan keseluruhan payu dara kirinya sehubungan itu antaranya menuntut ganti rugi am RM20 juta dan ganti rugi khas RM223,487.60 daripada pihak defendan. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan.