SELEPAS nama Mario Gomez digugurkan, bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan, Bojan Hodak menjadi sebutan malah dia dilaporkan berminat menjadi jurulatih Harimau Malaya.
Bagaimanapun warga Croatia berusia 45 tahun itu memberitahu sebuah akhbar tempatan, tawaran sebagai ketua jurulatih skuad negara sedia diterimanya namun dengan syarat tertentu demi mengelak kejadian sama berulang lagi.
Ini termasuk tidak diperlakukan seperti ketika dia pernah memohon jawatan tersebut kira-kira dua tahun lalu menyebabkan Hodak ‘bawa diri’ membimbing JDT selepas tidak lagi menjadi jurulatih skuad The Red Warriors.
“Saya sebenarnya masih berminat lagi sekiranya tawaran FAM itu menarik dan bersedia mempertimbangkannya. Tetapi harapan saya ialah selepas ini tiada lagi urusan yang agak ‘kelakar’ seperti pernah berlaku sebelum ini.
“Mereka (FAM) kononnya mahu memanggil tiga calon yang terbaik untuk ditemu duga (bagi jawatan tersebut) padahal si penyandangnya memang pun sudah sedia ada ditentukan (diserahkan kepada Datuk Ong Kim Swee).
“Saya tidak akan mohon lagi seperti dulu tetapi jika FAM minat, pasti mereka masih simpan nombor telefon saya untuk dihubungi,” katanya yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang tahun lalu.
Untuk rekod, Hodak pernah membimbing JDT untuk muncul juara Liga Super 2014 sekali gus layak ke Piala AFC, naib juara Piala FA dan Piala Malaysia. Bagaimanapun dia kemudian digantikan pula oleh Gomez pada April 2015.
Sebelum itu, Hodak turut membimbing Kelantan selama dua musim yang menyaksikan skuad negeri Pantai Timur itu muncul memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012, selain naib juara liga dan Piala Malaysia.
Hodak dan mantan Pengarah Teknikal FAM, Robert Alberts dari Belanda antara calon ditemu duga badan induk itu untuk jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya selain bekas jurulatih Harimau Muda, Kim Swee pada 2016 lalu.
Nama Hodak disarankan bekas jurulatih negara yang kini melatih Felda United, B. Sathianathan selepas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Khamis membatalkan hasrat untuk melantik pilihan utamanya, Gomez.
Ia gara-gara tuntutan gaji bulanan yang dikatakan mencecah RM177,600. Persatuan Bola Sepak Uganda pada 25 Mac lalu melantik Gomez, 60, sebagai ketua jurulatih negara Afrika tersebut menggantikan Milutin Sredojević.
Hodak dalam pada itu berkata, dia kini tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan Liga Malaysia mahupun luar negara ketika ini sekali gus terbuka untuk bebas berunding dengan pihak FAM bagi mengisi ‘kerusi panas’ itu.
“Saya sedang bercuti di sekitar Indonesia dan tidak melatih mana-mana pasukan lagi. Memang menjadi cita-cita saya untuk mengendalikan sebuah pasukan kebangsaan. Saya juga tidak simpan dendam dengan pihak FAM.
“Apatah lagi dengan Tunku Ismail (kerana isu digantikan Gomez di JDT). Saya cuma harap muka baharu memimpin FAM, keadaan akan berubah menjadi lebih baik asalkan kita sedia beri masa,” katanya. – Agensi/Myneshub.cc/HAA