KUCHING – Persidangan Ekonomi Digital dan Infrastruktur ICT Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2017 yang bermula hari ini selama dua hari bertujuan membincangkan aspek-aspek perlu dalam membangunkan ekonomi digital yang berkembang maju.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata persidangan akan turut menyentuh mengenai infrastruktur teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), kemahiran dan pengetahuan bagi membangun, memacu dan menyertai ekonomi digital, serta struktur tadbir urus yang diperlukan.
Katanya gesaaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengenai peralihan strategik dalam transformasi ekonomi negeri menerusi pembangunan ekonomi digital bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga penting jika Sarawak tidak mahu ketinggalan dari segi pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata perbincangan akan meliputi tiga landasan iaitu teknologi dan infrastruktur pemboleh bagi ekonomi digital; mentransformasi dan mentransisi rakyat, kerajaan, perdagangan dan industri ke arah kesediaan ekonomi digital; serta mengintegrasi dengan ekonomi digital dunia.
“Makmal susulan dan bengkel akan diadakan kemudian bagi membincangkan hasil persidangan dengan lebih lanjut,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada IDECS 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini.
Persidangan itu menampilkan 19 penceramah terkenal yang merupakan pakar dalam ekonomi digital selain lebih 30 pempamer yang sama ada pakar atau terlibat secara aktif dalam penggunaan teknologi digital.
Mohamad Morshidi berkata persidangan itu menarik lebih 1,500 perwakilan termasuk pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan, usahawan muda, kumpulan pemikir dan pelajar universiti.
Beliau turut meluahkan penghargaan kepada beberapa pengamal ekonomi digital dunia dan rantau yang bersetuju berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan mereka dalam persidangan itu.
“Saya harap perwakilan akan melibatkan diri secara aktif dalam persidangan ini menerusi soalan dan juga komen. Ini adalah tentang carta ekonomi masa depan Sarawak yang mana kita semua ada kepentingan,” katanya. – BERNAMA