MELIHAT pada penampilannya segak bergaya, pasti membuatkan ramai netizen menyangka penyanyi baharu bernama Delladellon ini hanya seorang remaja lelaki.
Bagaimanapun, tekaan itu ternyata meleset apabila mendengar suaranya yang seakan-akan wanita dan langsung tidak seperti lelaki.
Sehinggakan, ada yang berpendapat barangkali suara sedemikian kerana belum cukup baligh.
Dek kerana kecelaruan identiti itu, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Persia ini lantas mendapat perhatian ramai sehingga video klip lagu tersenarai dalam carta trending di YouTube Malaysia.
Malah, tidak kurang juga yang ‘bersuara pedas’ melontarkan kritikan terhadap nyanyian Delladellon atau mesra disapa sebagai Della.
Menjawab soalan cepumas netizen mengenai jantina sebenarnya, Della akui sebenarnya dia adalah wanita namun berpenampilan seperti lelaki.
“Inilah diri saya yang sebenarnya. Sebab saya memang dari kecil lagi berpenampilan seperti lelaki macam ni,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 26 tahun itu menafikan konsep muzik video itu berunsur LGBT seperti yang didakwa netizen.
“Jalan cerita muzik video itu bukan saya yang buat, tetapi pengurus saya yang uruskan semuanya.
“Saya memang perempuan. Kalau yang laga-laga pipi dalam muzik video saya tu, tak ada apa pun sebab dia perempuan dan saya perempuan. Sebab itu lah adanya babak macam tu,” katanya.
Pada masa yang sama, Della berjanji akan cuba memperbaiki nyanyiannya memandangkan teruk dikritik. – MYNEWSHUB.CC