PARIS – Presiden Perancis Francois Hollande mengumumkan mesyuarat pertahanan diadakan pada Jumaat pukul 8 pagi susulan insiden tembakan di pusat bandar Paris yang mengorbankan seorang pegawai polis dan mencederakan dua yang lain pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.
Perkara itu, diumumkan selepas Presiden mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bernard Cazeneuve dan Menteri Dalam Negeri Matthias Fekl.
Beliau yakin serangan itu mempunyai kaitan dengan pengganas dan berjanji langkah keselamatan akan diperketatkan menjelang pilihan raya presiden yang bermula Ahad.
“Kita mesti sedar bahawa pasukan polis terdedah dengan bahaya dan saya ulangi komitmen saya. Segala usaha akan dilakukan untuk memastikan anggota polis dapat menjalankan tugas mereka,” katanya.
Kumpulan militan Islamic States (IS) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Kejadian berlaku kira-kira 8 malam waktu tempatan di lokasi pusat beli-belah Champs Elysees di pusat bandar Paris.
Penyerang kemudian mati ditembak polis. – BERNAMA