KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal ditahan bersama suami orang dipercayai berkhalwat dalam serbuan yang dilakukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, di Lorong Kubur Maras, Jalan langgar, pagi semalam.
Janda anak dua yang berusia 29 tahun itu ditahan bersama pasangannya, seorang penjawat awam beruniform berusia 30 tahun.
Dalam serbuan jam 2.15 pagi itu, penguat kuasa yang menerima maklumat awam melakukan intipan sebelum berjaya mencekup kedua-duanya ketika bersekedudukan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
Memetik laporan Sinar Harian, lelaki terbabit berasal dari Kedah dan sudah mendirikan rumah tangga. Namun isterinya tinggal di Pulau Pinang kerana bekerja di negeri itu.
Si suami pula ditugaskan ke cawangan Kelantan sejak 10 bulan lalu. Janda berkenaan berasal dari Kampung Kekabu, Pasir Mas, bekerja sebagai jurujual jam di sebuah kompleks beli-belah di Lembah Sireh dan sudah bercerai empat tahun lalu.
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu mengambil wanita berkenaan dari bilik sewanya dan dibawa pulang untuk tidur bersama di rumah sewa lelaki itu yang juga dihuni tiga lagi rakan lelaki.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tidak mengetahui kegiatan lelaki itu yang hampir setiap malam membawa pulang janda itu secara bersembunyi.
“Anak-anak janda itu dijaga oleh mertuanya (ibu bekas suami), manakala yang lelaki masih belum mempunyai anak. Mereka sudah menjalinkan hubungan lebih tiga bulan lalu,” kata sumber. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan.