JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memperuntukkan RM420,000 bagi melaksanakan program pembangunan komuniti Orang Asli di negeri ini pada tahun ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya komited dalam memastikan pembangunan masyarakat dilakukan secara inklusif termasuk Orang Asli.
“Kita juga mahu membawa pembaharuan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pembangunan Komuniti Masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Masai, Pasir Gudang, dekat sini hari ni.
Pembangunan itu katanya tidak mengubah jati diri Orang Asli tetapi selari dengan pembangunan dan pemodenan semasa bagi membantu komuniti tersebut menyesuaikan diri.
Katanya program pembangunan yang melibatkan agensi-agensi kerajaan berkaitan akan diadakan dua kali sebulan dan menumpukan kepada aspek kemahiran, kesihatan dan kebersihan dalam kalangan Orang Asli.
“Antara programnya ialah pemeriksaan kesihatan, bengkel interaktif minda dan kursus kemahiran yang melibatkan enam agensi di bawah Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri,” katanya.
Mohamed Khaled turut mengumumkan penubuhan Koperasi Orang Asli Kuala Masai Bhd bagi golongan itu menceburi aktiviti penternakan kupang.
Kerajaan negeri juga memberikan peruntukan RM30,000 untuk koperasi itu melaksanakan aktivitinya, kata Mohamed Khaled. – BERNAMA