KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menjangka sebarang kesan buruk yang akan timbul susulan penjualan 51 peratus ekuiti Proton Holdings Bhd (Proton) kepada pelabur dari luar negara, menurut Kementerian Kewangan.
Katanya usaha sama bersama rakan kongsi strategik mampu meningkatkan keupayaan Proton untuk menghasilkan pelbagai kenderaan dengan harga yang kompetitif dan berteknologi terkini.
“Pengeluaran produk baharu hasil daripada perkongsian strategik dijangka akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran kilang.
“Secara keseluruhannya, dengan peningkatan jumlah pengeluaran kenderaan dan komponen tempatan, perkongsian ini akan memberikan skala ekonomi dan model perniagaan yang lebih berdaya maju kepada Proton, pembekal dan wakil pengedar di Malaysia,” kata kementerian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Ia bagi menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-PJ Selatan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan akibat yang lebih buruk terhadap Proton selepas kesanggupan kerajaan membenarkan pegangan ekuiti 51 peratus kepada pengusaha otomobil negara asing terutama dari negara China.
Kementerian Kewangan turut menyatakan DRB-Hicom selaku pemegang saham tunggal Proton, kini dalam proses penilaian akhir ke atas bidaan yang diterima bagi memastikan pertimbangan sepenuhnya.
“Ini supaya manfaat yang menyeluruh dapat diperoleh oleh semua pihak yang berkepentingan, termasuklah pemegang saham, pekerja, rangkaian pembekal dan pengedar serta pengguna dan rakyat Malaysia amnya,” katanya. – BERNAMA