TELUK INTAN – Gerai Buah-buahan Segar bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh negara mencatat nilai jualan sebanyak RM28 juta dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata hasil jualan itu disumbangkan oleh 372 usahawan yang melibatkan pembukaan 418 gerai menjual buah-buahan tempatan bermusim dan tidak bermusim di samping buah-buahan import.
“Ini satu peluang bagi mengukuhkan ekonomi kumpulan sasar selain menghapuskan manipulasi harga orang tengah,” katanya ketika ditemui pada program lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Peladangan Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri Perak Datuk Saarani Mohamad ke gerai berkenaan di Selabak di sini hari ini.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak selama lima hari berakhir Sabtu ini.
Mengulas lanjut, Badruddin berkata Fama juga merancang untuk melahirkan 25 usahawan baharu dan gerai baharu di bawah program GBBS di seluruh negara tahun ini selepas pulangan yang diraih tahun lepas memberangsangkan iaitu RM190 juta.
Katanya Fama juga dalam usaha menaik taraf secara berperingkat semua 418 GBBS sedia ada selain meminta kerajaan negeri menyediakan tapak-tapak yang sesuai untuk membina gerai berkenaan dengan kosnya ditanggung oleh agensi itu sendiri.
Sementara itu, mengulas mengenai Perak, Badruddin berkata terdapat 30 usahawan Fama menjalankan perniagaan buah-buahan di 33 GBBS yang memberi pulangan nilai jualan lebih RM2 juta bagi tempoh Januari sehingga Mac tahun ini manakala pada tahun lepas mereka mencatat jualan RM22.422 juta.
Menerusi angka jualan memberangsangkan pada tahun lalu, katanya pencapaian usahawan GBBS Perak boleh dibanggakan berikutan jualan bagi negeri itu berada di tiga terbaik di belakang Kedah (RM27.8 juta) dan Pahang (RM22.9 juta).
Projek GBBS bermula sejak April 2006 antara lain memperluaskan ruang pasaran khususnya buah-buahan tempatan selain mengatasi masalah lambakan buah-buahan supaya pemilik kebun dapat memasarkan sendiri hasil mereka terus kepada pengguna. – BERNAMA