KUALA LUMPUR – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora percaya pasukan Kelantan akan bermain dengan agresif untuk menewaskan pasukannya malam ini.
Justeru beliau menyifatkan pertembungan dengan Kelantan di Stadium Kota Bharu malam ini bukan mudah dan pasti sukar untuk JDT menjinakkan pasukan itu.
“Pasukan lawan pada malam ini pasti sukar untuk dijinakkan dan saya percaya mereka bakal turun dengan lebih agresif di laman sendiri.
“Tetapi dengan komitmen yang tinggi setiap pemain, saya yakin untuk mendapatkan keputusan yang positif. Kesemua pemain perlu mengekalkan rentak permainan yang konsisten dan bukan hanya fikir untuk menang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan JDT berpeluang mengatasi pasukan Pahang dan Kedah untuk berada ditangga teratas carta Liga Super 2017 malam ini jika berjaya menewaskan pasukan Kelantan.
Ia ekoran kejayaan JDT membenam Melaka United 7-0 di Stadium Larkin baru-baru ini sekali gus memberi kelebihan kepada pasukan itu dalam perkiraan jaringan gol.
“Semua pasukan akan bermain bermati-matian ketika menentang JDT termasuklah Kelantan.
“Jadi kita perlu sentiasa berwaspada dan benteng pertahanan yang diterajui Marcos Antonio perlu ampuh untuk menyekat kemaraan pemain lawan,” kata Mora. – MYNEWSHUB.CC