DUNIA bakal menyaksikan satu lagi seni bina hebat apabila negara dari benua Afrika iaitu Algeria kini dalam proses membina sebuah masjid yang diiktiraf sebagai ketiga terbesar di dunia apabila siap kelak.
Masjid yang bakal siap sepenuhnya pada tahun ini adalah hasil kerjasama antara syarikat kejuruteraan pembinaan dari China dan tempatan iaitu Algeria sendiri dengan pelbagai seni reka bentuk yang hebat.
Dikenali Djamaa El Djazair atau Bouteflika, masjid yang berharga lebih dari satu bilion euro (RM4 bilion) itu bakal menempatkan dewan solat seluas 20,000 meter persegi yang mampu memuatkan hingga 120,000 jemaah selain menara setinggi 264 meter yang dianggap tertinggi setakat ini.
CNN melaporkan negara yang kaya dengan hasil minyak itu telah memberikan penghargaan kepada sebuah firma kejuruteraan dari China kerana menghasilkan seni bina untuk masjid tersebut.
“Kami berterima kasih kepada rakan dari China yang menghasilkan karya seni bina ini. Ia akan ditulis dalam sejarah sebagai karya monumental seni bina agama.
“Ia adalah masjid ketiga terbesar di dunia, kedudukannya hanya selepas dua masjid terbesar iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Ia adalah sebuah bangunan yang megah, yang melambangkan persahabatan antara Algeria dan China,” kata Menteri Perumahan Algeria, Abdelmadjid Tebboune.
Beliau berkata demikian selepas majlis menempatkan menara masjid pada Sabtu lalu yang dihadiri China State Construction Engineering Corporation (CSCEC) dan Duta Besar China di Algeria, Yang Guangyu.
Abdelmadjid turut menyampaikan pingat kepada jurutera dari China dan Algeria yang memberikan sumbangan cemerlang kepada pembinaan masjid tersebut.
“Taraf pembinaan projek ini adalah sangat tinggi. Ia direka dan dibina mengikut standard yang akan bertahan dalam masa selama seribu tahun.
“Selepas lima tahun berusaha, kami telah berjaya melepasi tahap pertama kejayaan untuk mencapai kejayaan pembinaan masjid ini,” kata Ketua Pengarah CSCEC di Algeria, Zhou Sheng.
Kompleks yang mula dibina pada 2012 itu terletak antara pusat tarikan pelancong dan daerah golongan bekerja yang sebelum ini menjadi kawasan pelampau Islam. – MYNEWSHUB.CC