KOTA KINABALU – Seorang jurutera warga Romania disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan pengsan akibat terjatuh di bilik enjin sebuah kapal dagang di perairan barat laut Labuan, semalam.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M.Chandra berkata mangsa, Mevlit Stelian, 36, ditemui tidak sedarkan diri di bilik enjin kapal berkenaan oleh sekumpulan kru kapal itu pada kira-kira pukul 9.30 pagi.
Katanya, kru kapal kemudian menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk bantuan kecemasan.
“APMM kemudiannya meminta bantuan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan ‘Medical Evacuation’ (MEDEVAC),” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian, kapal dagang yang berpusat di Singapura itu dalam perjalanan dari Labuan ke Pelabuhan Yu Lian, Shekou, China.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Chandra berkata kesemua 15 kru kapal belum diambil keterangan kerana kapal tersebut telah meneruskan pelayaran ke China.
Sementara itu, Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.30 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak TUDM.
“Sebuah helikopter TUDM jenis AC725 kemudian dikerahkan untuk mengambil mangsa yang ketika itu dikatakan dalam keadaan kritikal,” katanya.
Semasa kejadian, kapal itu berada di 79 batu nautika dari Labuan. – BERNAMA