SEREMBAN – Seorang kanak-kanak maut manakala empat lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Seremban di Kilometer 271.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian jam 7 malam itu, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Dua lagi kanak-kanak dipercayai adiknya serta ibu dan bapanya, pula parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan.
Sumber berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta dinaiki lima beranak itu dirempuh dari belakang oleh sebuah bas. Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. – Berita Harian