PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbang cadangan Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dinamakan sempena atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia berikutan kejayaan Azizulhasni yang melakar sejarah apabila berjaya merangkul gelaran dunia acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong, China semalam.
“Kita akan mempertimbangkan cadangan ini bahkan sedia berbincang lebih lanjut dengan Azizulhasni setelah beliau sudah pulang ke tanah air nanti. Tetapi, saya percaya Azizulhasni pun tidak mahu dirinya diagung-agungkan.
“Malahan kerjaya beliau dalam sukan berbasikal ini sebenarnya masih lagi belum selesai,” kata Khairy Jamaluddin pada sidang media selepas melancarkan program untuk memperkenalkan Duta Belia TN50 di sini, Jumaat.
Beliau berkata, kejayaan anak kelahiran Terengganu berusia 29 tahun itu yang turut dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ boleh dianggap sebagai antara pencapaian terhebat atlet dalam sejarah sukan negara ini sendiri.
“Dia menang dengan bergaya pada pusingan terakhir, tinggalkan pesaing paling dekat dalam beberapa saat. Dalam acara sprint, ini satu kemenangan besar, umpama Usain Bolt memenangi acara pecut,” kata Khairy Jamaluddin.
Velodrom Nilai bernilai RM80 juta itu merupakan kompleks sukan berbasikal tertutup kelas satu dan mula dibina sejak 2015 sebagai antara venue acara untuk Sukan SEA Ke-29 yang berlangsung di luar ibu negara pada Ogos ini.
Ia menggantikan Velodrom Kuala Lumpur di Cheras yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan projek hartanah komersial selain faktor usang dan tidak lagi selamat digunakan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA