LONDON – Sebuah rancangan pertandingan realiti masakan popular televisyen menjadi sensasi dalam kalangan netizen Britain bukan kerana makanan pelik yang disajikan peserta terlibat.
Sebaliknya, ramai netizen di negara tersebut mempertikaikan bentuk dessert atau hidangan kek pencuci mulut yang disifatkan terlalu erotik apabila bentuk makanan disiapkan setiap peserta tidak ubah seumpama payudara wanita.
Akibatnya, pengguna media sosial menjadikan isu rupa hidangan pada episod kedua tersebut sebagai bahan untuk mengutuk keras pengacara program Bake Off: Creme De La Creme, Angus Deayton yang merupakan aktor komedi.
Laman Twitter penuh dengan kritikan terhadap beliau yang kini menggantikan pengacara musim pertama pada tahun lalu, Tom Kerridge kerana dikatakan tidak sensitif selain ada menuduhnya sebagai seksis terhadap wanita.
“Apalah benda pelik yang cuba Angus sajikan dalam Creme De La Creme malam tadi (Selasa)?” soal salah seorang peminat yang tidak didedahkan identitinya menerusi Twitter apabila menulis kicauan komen bernada kecewa.
Baca: Disekat IG Dek Salah Faham Kek Dikata Payudara
Juga: Replika Payudara Gergasi Hiasi Kota London
Salah seorang netizen pula dipetik portal berita popular DailyMail menambah: “Di manakah perginya Tom? Jika dia perlu digantikan sekalipun, tolonglah cari hos yang paling tidak pun cef berpengalaman, bukannya pelawak!”
Episod terbaharu disiarkan stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) itu mengkehendaki peserta menyajikan dessert berdasarkan kepada bentuk buah pic yang diilhamkan daripada hidangan dikenali sebagai Peach Melba.
Bake Off: Creme De La Creme memaparkan empat pasukan yang masing-masing terdiri daripada tiga peserta ditugaskan menyediakan empat hidangan berbeza dan kumpulan menang akan mara ke peringkat seterusnya.
Bagaimanapun saluran BBC2 yang menyiarkan program 60 minit tersebut pada setiap Selasa jam 8 malam tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebagai mengulas kontroversi berkenaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA