SIPITANG – Kerajaan pusat akan membantu kerajaan Sabah mempromosi sekali gus mengangkat Festival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (Gata) Sipitang agar lebih dikenali di persada antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang mahu melihat jumlah penyertaan dan pengunjung festival seni dan budaya suku kaum itu meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda pada penganjuran akan datang, berkata bantuan itu termasuk peruntukan kewangan yang diperlukan bagi penganjuran festival itu.
“Berapa peruntukan yang digunakan (kerajaan negeri), insya-Allah kami (kerajaan pusat) akan ‘top up’ (jumlah peruntukan itu). Saya mahu melihat (jumlah penyertaan dan pengunjung) Festival Gata meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda tahun depan,” katanya ketika merasmikan festival antarabangsa itu di Gata Square, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin; Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman.
Ahmad Zahid juga mahu pihak penganjur Festival Gata Sipitang yang diperkenalkan pada 2003 itu, turut mengundang negara lain seperti Thailand, Australia dan New Zealand untuk bersama-sama menyertai festival itu pada masa akan datang.
“Saya tahu penganjuran festival Gata pada hari ini menerima pengunjung dari negara Brunei dan Indonesia, serta dari Sarawak.
“Tetapi, saya fikir rakan-rakan kita dari negara Thailand atau negara ASEAN lain, dan mungkin Australia dan New Zealand juga mempunyai permainan yang sama (iaitu gasing),” katanya.
Ahmad Zahid berkata penganjuran festival seumpama itu berupaya mengantarabangsakan budaya dan nilai-nilai seni masyarakat berbilang kaum di Sabah yang mempunyai keistimewaannya sendiri.
“Meskipun, kita berbeza keturunan, budaya dan gaya bahasa, tetapi atas semangat negeri Sabah yang kental dan semangat negara Malaysia yang kukuh, kita (berjaya) mengantarabangsakan budaya masyarakat Sipitang (menerusi Festival Gata).
“Lapan kumpulan etnik di sini (Sipitang) mengikat tali perbezaan itu bukan untuk perpecahan tetapi bagi mengukuhkan lagi perpaduan, hormat menghormati dan saling bertoleransi. Kita harus memberikan apresiasi kepada perbezaan ini ke arah menguatkan lagi ikatan perpaduan dan kesatuan kita yang sememangnya menjadi keistimewaan di Sabah dan Malaysia,” katanya.
Festival antarabangsa itu yang diadakan selama tiga hari mulai semalam mendapat sambutan ribuan pengunjung. – BERNAMA