PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk semula rencana bertajuk “Awas Stevia Palsu” yang pernah disiarkan melalui akhbar Berita Harian bertarikh 27 Mac 2017.
Susulan artikel tersebut, pihak KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah pun menjalankan pemantauan ke atas semua produk yang berasaskan stevia dan dijual di pasaran tempatan.
Dalam satu kenyataan di sini, KKM menjelaskan bahawa hasil pemantauan mendapati satu sampel berjenama PURE STEVIA keluaran syarikat VJS Cosmo Ent. sebagai langsung tidak mengandungi stevia.
Sehubungan itu, KKM mengarahkan syarikat terlibat supaya menarik balik produk tersebut dari pasaran dan tindakan mahkamah akan diambil ke atas syarikat berkenaan di bawah Akta Makanan 1983.
Stevia adalah sejenis bahan pemanis semula jadi diekstrak daripada daun pokok Stevia yang mengandungi glikosida steviol dan diproses menjadi serbuk putih hingga kuning cerah, tidak berbau dan ada rasa manis.
Ia boleh digunakan sebagai pengganti kepada gula biasa terutama dalam minuman khususnya kepada mereka yang disahkan menghidap penyakit diabetes atau kencing manis.
KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk stevia dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil serta pengguna akan dimaklumkan.
Malahan KKM memberi jaminan akan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. – Bernama/HAA