PEKAN – Penganjuran kolokium berkaitan sejarah perlu diadakan secara berterusan bagi menerbit pendapat dan bukti baharu melalui fakta sejarah yang wujud di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Beliau berkata kolokium yang digerakkan secara berterusan bukan sahaja dapat membangkitkan kesedaran malah mampu memberi kesan kepada pemikiran masyarakat.
Perkara sejarah yang diketengahkan dalam kolokium itu mampu menunjukkan perbezaan penemuan sejarah antara dahulu dan sekarang, katanya.
“Sejarah dahulu dan sekarang berlainan sebagai contoh hasil sejarah yang ditulis pada zaman penjajahan dahulu kita membaca berkaitan Mat Kilau, Datuk Bahaman dan sebagainya sebagai penentang
Namun hari ini, dengan hasil kajian baharu ia sudah bertukar apabila kita mendapati hakikatnya mereka juga sebenarnya adalah pejuang kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kolokium British Malaya 1874 di sini, hari ini.
Kolokium yang disertai 300 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan pegawai-pegawai jabatan kerajaan itu membincangkan topik berkaitan keadaan Tanah Melayu sebelum dan selepas kedatangan British dan 1984 yang merupakan tahun permulaan dalam sejarah pembangunan Malaysia moden.
Sharkar berkata, kolokium itu bukan untuk menidakkan dapatan sejarah yang ada tetapi memberi ruang kepada golongan ilmuan membincangkan sejarah secara lebih mendalam yang berguna bagi generasi baharu pada masa akan datang.
Melalui kajian dan pembentangan secara lebih terperinci katanya, secara tidak langsung dapat membentuk pemikiran rakyat yang baharu dengan berpaksikan kepada pemahaman mereka, katanya. – BERNAMA