SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengkaji semula standard penghasilan tayar celup kenderaan berat di negara ini bagi meningkatkan tahap keselamatan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kajian semula itu juga mengambil kira perubahan cuaca semasa, yang mana standard lama yang dipatuhi ketika ini, tidak lagi bersesuaian.
“Di negara Eropah mereka telah tingkatkan satu standard baharu bagi tayar celup yang dihasilkan meskipun negara mereka beriklim sejuk, apatah lagi kita dengan keadaan cuaca yang panas. Jadi kita juga mahu kualiti tayar celup yang dihasilkan harus mengikut kesesuaian cuaca negara kita.
Beliau berkata setakat ini, jawatankuasa petugas terdiri daripada KPDNKK, Jabatan Pengangkutan Jalan, Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan SIRIM Berhad bersetuju agar tayar celup yang dikeluarkan perlu meletakkan label tarikh pengeluaran, memastikan tayar terpakai digunakan tidak melebihi tiga kali dan melihat gam getah yang digunakan dalam pembuatannya.
“Kita mahu keseluruhan industri yang menghasilkan tayar celup ini menggunakan standard yang baharu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke sebuah syarikat pengeluar tayar celup di Senawang, di sini hari ini.
Hamzah berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan LGM bagi melihat semula sebatian getah dalam tayar yang digunakan ketika proses penghasilan dan keputusan perbincangan itu akan ditetapkan sebagai antara standard baharu penghasilan tayar celup.
Selain itu, KPDNKK juga akan membuat operasi besar-besaran bagi mengesan syarikat berlesen atau tidak berlesen yang mengeluarkan tayar celup tidak mengikut piawaian yang ditetapkan kerajaan, dalam tempoh sebulan ini.
“Operasi ini dilaksanakan kerana banyak kemalangan yang berlaku menggunakan tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi standard.
“Bagi syarikat pengeluar berlesen tetapi dikesan mengeluarkan tayar celup yang tidak mengikut spesifikasi, lesen mereka akan digantung dan siasatan boleh dijalankan dan dikenakan kompaun.
“Bagi syarikat yang beroperasi tanpa lesen pula, kita akan arahkan syarikat mereka ditutup,” katanya.
Katanya, ketika ini terdapat 97 syarikat pengeluar tayar celup yang mempunyai lesen di negara ini. – BERNAMA