KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha meningkatkan aktiviti di persekitaran kediaman dan taman perumahan murid sekolah untuk disertai golongan itu bagi mengekang penglibatan mereka dengan gejala penyalahgunaan dadah.
Timbalan menterinya, Datuk P. Kamalanathan berkata tumpuan aktiviti adalah di kawasan berisiko tinggi yang telah dikenal pasti oleh Agensi Penguatkuasaan Dadah Kebangsaan (AADK).
“KPM memang serius melaksanakan pendidikan pencegahan dadah dalam kalangan murid di semua sekolah secara implisit dan eksplisit di dalam serta di luar kelas.
“KPM telah mengadakan persefahaman dengan semua agensi kerajaan dan NGO termasuk PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), AADK, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar dapat bersama-sama membantu meningkatkan aktiviti di persekitaran kediaman dan taman perumahan murid sekolah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Diraja bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Kamalanathan berkata KPM juga melaksanakan langkah intervensi awal kepada murid yang berisiko tinggi terlibat dengan dadah.
“Mereka akan mengikuti program pembangunan sahsiah yang dikendalikan oleh kaunselor sekolah.
“Murid-murid juga dilatih memanfaatkan masa dan menggunakan kemahiran diri yang positif untuk menghindari gejala daha melalui aktiviti pertubuhan beruniform, kelab dan persatuan.
Selain itu, katanya, KPM sentiasa memberikan perhatian terhadap kesihatan dan keselamatan murid serta memastikan mereka mendapat makanan dan minuman berkhasiat dan penjualan gula-gula dan coklat adalah dilarang dan tidak dibenarkan dijual di kantin sekolah.
“KPM telah mengeluarkan surat siaran Larangan Penjualan Makanan dan Minuman Yang Tidak Digalakkan Penjualannya Di Kantin Sekolah pada 15 Mac 2017. Perkhidmatan pengusaha kantin boleh ditamatkan sekiranya didapati melanggar peraturan dan melanggar kontrak perjanjian kantin sekolah,” katanya.
Sementara itu, mengenai bilangan guru baharu kaum Orang Asli, Kamalanathan berkata setakat akhir bulan lepas, terdapat seramai 225 guru kaum Orang Asli iaitu 156 di sekolah rendah dan 69 orang di sekolah menengah. – BERNAMA