TEMERLOH – Lebih 110, 000 pengunjung direkodkan hadir sepanjang tempoh tiga hari penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh bermula 20 April sehingga malam tadi.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata berdasarkan jumlah kehadiran yang memberangsangkan itu, beliau yakin sasaran untuk mencapai 150,000 pengunjung sehingga hari akhir penganjuran program itu pada 25 April ini akan dapat dicapai.
“Kehadiran ramai pengunjung ke MSAM 2017 ini menunjukkan masyarakat kita semakin celik tentang pentingnya mendapatkan pengetahuan berkaitan cara menguruskan kewangan dan pelaburan dengan baik.
“Sejak MSAM dianjurkan pada tahun 2007, ia banyak mengubah tanggapan masyarakat terhadap kepentingan simpanan dan pelaburan dan ini juga dapat dilihat dengan pertambahan dari semasa ke semasa jumlah pelabur yang menyimpan dalam skim dana amanah yang ditawarkan PNB ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam penghargaan MSAM 2017 di sini malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
Sehubungan itu, katanya PNB akan terus menjalankan usaha untuk memupuk kesedaran dan mendidik orang ramai terutama di kalangan generasi muda dan pelajar sekolah agar terus menyimpan serta melabur demi masa depan mereka. – BERNAMA