ALOR SETAR – Gara-gara cuba memberi suapan RM50 kepada anggota polis, seorang lelaki etnik Rohingya dihukum penjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Zanol Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Noor Salam Ibrahim, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 100 hari jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Noor Salam, bapa kepada tujuh orang anak, didakwa menawarkan suapan wang tunaiitu kepada anggota Balai Polis Mahang, Koperal Alias Othman untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memandu van tanpa lesen.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tepi jalan berdepan Balai Polis Mahang, Kulim, pada pukul 3.10 petang, 31 Mac lepas.
Tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA