OHIO – Seorang pesakit mental menculik jirannya yang buat laporan menerima panggilan gangguan daripadanya dan mengurung wanita itu dalam lubang kecil di kandang belakang rumahnya.
Wanita tersebut, bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas jeritannya didengari oleh ibunya, kata jurucakap polis yang dipetik media Amerika Syarikat.
Polis di Blanchester, kira-kira 64 kilometer ke timur laut Cincinnati, berkata pemilik bangsal itu, Dennis Dunn, ditahan pagi semalam dan dijel. Mereka berkata, Dunn mempunyai sejarah isu kesihatan mental.
Ibu wanita itu melaporkan kehilangan anaknya kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan dan menghubungi polis dua jam kemudian untuk melaporkan jeritan yang kedengaran dari kandang di belakang rumah Dunn.
Polis yang menerima laporan tiba dan menemui mangsa di dalam kandang, dalam keadaan melutut dalam lubang sedalam satu meter dengan 0.6 meter lebar dan 0.6 meter panjang, dengan kayu menutup lubang itu.
Ketua polis tempatan, Scott Reinbolt, berkata objek berat termasuk peralatan potong rumput, ditempatkan di atas kayu itu, sekali gus menghalang mangsa untuk keluar.
Beliau dikesan mengalami sawan dan dihantar ke hospital, menerima rawatan dan dibenarkan keluar, kata polis. – AP/BH ONLINE