SINGAPURA – Semua pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) bakal mempunyai akses data untuk penjejakan pesawat miliknya bagi setiap minit dan 100 peratus global.
Ia menerusi penggunaan sistem perisian terbaharu dikenali sebagai AIRCOM FlightTracker yang disediakan oleh firma antarabangsa, SITAONAIR berasaskan sistem penyelesaian data Automatik Pemantauan-Penyiaran (ADS-B).
Malah, MAB akan menjadi pelanggan pertama SITAONAIR untuk meraih manfaat itu menerusi jalinan kerjasama penting usaha jejak pesawat membabitkan tiga pihak iaitu SITAONAIR, Aireon dan FlightAware.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sebelum ini menetapkan semua syarikat penerbangan (mempunyai kemudahan) menjejaki pesawat masing-masing bagi setiap 15 minit mulai November 2018.
“Usaha jejaki pesawat masa sebenar sememangnya sudah lama menjadi sasaran kalangan komuniti penerbangan. Malah, MAS berbangga apabila menjadi yang pertama menggunakan sistem penyelesaian data ADS-B.
“Ia berasaskan kepada ruang angkasa yang menjadi sebahagian AIRCOM FlightTracker,” kata Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Kaedah penyelesaian itu akan mempertingkatkan AIRCOM FlightTracker sedia ada dengan menambah data ADS-B Aireon kepada data semasa yang diperolehi daripada pelbagai sumber global FlightAware.
Pada masa sama, ia turut melengkapi data aktiviti Sistem Pengemudian Udara Masa Depan (FANS) Penyedia Perkhidmatan Pengemudian Udara (ANSP) yang aktif.
Menerusi penggunaan data ini, pusat operasi pesawat MAB akan menerima maklumat kemas kini kedudukan sebenar semua pesawatnya di seluruh dunia.
“Bahkan, menerusi akses pelaporan minit (terkini), MAB dapat tahu aspek kedudukan, haluan, kelajuan dan paras kedudukan semua pesawat, pada setiap masa serta peka sebarang kemungkinan,” kata Pengarah Portfolio AIRCOM di SITAONAIR, Paul Gibson.
Data Aireon ADS-B berasaskan ruang angkasa itu juga dapat menyelesaikan sebarang jurang penerimaan liputan data sedia ada, terutama di kawasan ruang udara dan lautan terpencil yang tiada sebarang pengawasan ketika ini.
Tiada sebarang aspek avionik atau pengubahsuaian baharu perlu dilakukan ke atas pesawat untuk memanfaatkan perkhidmatan baharu ini. MAB ketika ini memiliki 75 buah pesawat dan menempah 31 buah lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FlightAware, Daniel Baker berkata MAB akan mendapat keupayaan jejaki pesawat pada masa sebenar dengan lebih lancar, termasuk di kawasan tidak dipantau pihak ANSP pada masa ini.
“Ini bermakna MAB akan mendapat gambaran lebih menyeluruh serta jelas mengenai lokasi sebenar pesawatnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aireon, Don Thoma pula menyifatkan MAB telah memainkan peranannya sebagai peneraju dalam industri itu sejak tragedi MH370 yang berlaku pada 2014.
“Aspek jejaki pesawat pada masa sebenar dan bila-bila masa di pelusuk dunia akan mempertingkatkan matlamat keselamatan. Ini akan membolehkan MAB menjejaki pesawatnya di mana-mana pada bila-bila masa,” katanya.
Pada November 2016, Aireon, FlightAware and SITAONAIR telah mengumumkan kerjasama baharu untuk melaksanakan data Aireon menerusi FlightAware kepada pelanggan SITAONAIR.
Sebaik sistem Aireon itu beroperasi yang dijadualkan pada 2018, pesawat yang sudah menggunakan AIRCOM FlightTracker SITAONAIR akan secara automatik dapat melihat data baharu Aireon terpampang pada sistemnya. – BERNAMA