KUCHING – Selepas kecewa di final badminton Terbuka India semalam, juara Olimpik, Carolina Marin, mahu menebus kehampaan itu dengan menjuarai Siri Super Premier Terbuka Malaysia yang bermula di sini esok.
Marin, yang tewas 19-21, 16-21 kepada PV Sindhu semalam, lawan sama yang ditundukkannya di final Sukan Olimpik Rio, Ogos lepas, sudah melupakan kekalahan itu dan menegaskan tidak akan patah semangat untuk memburu gelaran di sini.
“Saya tidak tertekan…walaupun penat (penerbangan), saya gembira berada di sini kerana ia adalah peluang bagi saya menambah koleksi kejuaraan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Namun Marin mengakui saingan di Kuching adalah sengit kerana 10 pemain terbaik perseorangan wanita dunia adalah hampir sama tarafnya.
“Ia bergantung kepada siapa yang beraksi lebih baik dan bijak mencuri peluang sewaktu perlawanan.
“Saya akan lakukan yang terbaik dalam semua perlawanan di sini. Saya akan bermain pusingan pertama pada Rabu (menentang pemain Hong Kong, Yip Pui Yin) dan harap dapat layak ke final nanti,” katanya.
Menjawab soalan lain, Carolina berkata sasaran utama beliau menjuarai Sukan Olimpik sudah berjaya diperoleh dan kini mahu menambah koleksi gelaran bagi kepuasan peribadi.
“Saya akan lakukan yang terbaik dan akan menikmati perlawanan saya. Bagi saya perlawanan terbaik adalah di Sukan Olimpik dan sekarang saya mengintai peluang gelaran Siri Super Dunia dan berharap dapat mengekalkan aksi terbaik,” katanya.
Selain sebagai pemain badminton, Marin juga diberi penghormatan menjadi duta LaLiga untuk membantu Sepanyol mempromosikan liga bola sepak mereka khususnya di Asia.
“Bola sepak adalah sukan popular di Sepanyol dan saya sangat gembira kerana semua orang kini mengenali badminton di negara saya,” katanya sambil menambah impiannya kini telah tercapai untuk memperkenalkan badminton di tanah air sendiri. – BERNAMA