JOHOR BAHRU – Mayat murid tahun enam yang hilang ketika mandi bersama rakannya di Sungai Serai, Masai, di sini Khamis lepas, ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Jokhiri Abdul Aziz berkata mayat Muhammad Faiz Surimin, 12, ditemui pasukan penyelamat pada pukul 10.30 pagi di dasar sungai itu, kira-kira 100 meter dari perangkap sampah Ladang Keck Seng.
“Mayat murid Sekolah Kebangsaan Kampung Cahaya Baru, Masai, itu dijumpai dalam keadaan sempurna fizikalnya cuma sedikit kembung.
“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail, di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, Muhammad Faiz yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik dikatakan pergi ke tengah sungai yang dalam dan deras, mengakibatkannya hanyut dibawa arus.
Dua rakannya cuba menyelamatkan mangsa dengan mengejarnya dari atas tebing, namun gagal sehingga dia tenggelam. – BERNAMA