SEORANG gadis berusia dalam lingkungan 20-an terpaksa menanggung kesakitan selepas menggunakan satu produk kecantikan yang telah dibeli di sebuah pasar malam.
Menerusi perkongsian seorang pegawai perubatan, Dr. Mohd Syamirulah Rahim di laman Facebook, dia berkongsi pengalaman mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian muka selepas menggunakan sejenis produk yang tidak dinyatakan.
“Gadis tersebut memakai penutup muka (facemask). Aku tertanya-tanya. Biasanya pesakit Tuberculosis yang diminta memakai facemask kerana penyakit tersebut mudah berjangkit.
“Atau pesakit kanser yang sedang menjalani kimoterapi kerana mereka mudah dijangkiti kuman. Maka terpampanglah wajah gadis ini. Kulitnya menggelupas.
“Nanah kering sebesar syiling 50 sen bertompok-tompok di pipi. Masih ada bahagian kulit mukanya kemerahan. Berlendir. Ada baru nak naik bintik, persis jerawat. Tapi bukan jerawat,” tulisnya.
Gadis tersebut mengakui membeli produk kecantikan di pasar malam dua minggu lalu dan mukanya mula berubah selepas menggunakan produk itu.
“Saya ada jumpa penjual tersebut semalam. Penjual tu kata muka saya jadi begini kerana badan keluar toksik sebab sebelum ini banyak pakai pencuci muka yang ada bahan kimia,” kata gadis itu yang anggap itu adalah proses penyembuhan.
Bagaimanapun, pegawai perubatan itu menjelaskan ia bukanlah proses penyembuhan tetapi kesan kepada penggunaan produk yang menggunakan bahan kimia bernama tretinoin.
“Tretinoin, adalah sejenis bahan yang digunakan untuk merawat jerawat. Tetapi, ianya sangat kuat. Kuat dari segi kata, kesan sampingannya.
“Kesan sampingan yang saya maksudkan, adalah jika seseorang itu mengandung sama ada sedar atau tidak, khususnya pada trimester pertama, janin berisiko untuk mengalami kecacatan!
“Kesan tretinoin cukup kuat ini, menyebabkan ubat ini biasanya hanya dipreskripsi doktor pakar kulit. Saya sendiri tidak dibenarkan beri ubat ini kepada pesakit, kerana saya bukan pakar kulit.
“Pakar kulit sendiri pun, apabila beliau mahu memulakan rawatan dengan ubat ini, pesakit perlu menandatangani persetujuan (consent) bahawa sekiranya ditakdirkan pesakit mengandung ketika menjalani rawatan tretinoin, dan berlaku kecacatan kepada janinnya, doktor pakar kulit ini tidak akan dipertanggungjawabkan.
“Maksudnya pesakit bertanggungjawab mengambil langkah-langkah pencegahan kehamilan sepanjang menjalani rawatan dengan ubat ini!” tulisnya.
Lebih memeranjatkan lagi apabila kakak gadis itu yang kini hamil anak sulung turut menggunakan produk yang sama namun tidak mengalami masalah kulit sepertinya.
“Saya sarankan cik nasihatkan kakak cik untuk berhenti menggunakan produk ini, dan maklumkan perkara tersebut kepada doktor klinik tempat beliau check up.
“Dikhuatiri beliau perlu menjalani scan yang terperinci (detailed scan) untuk mengenal pasti adakah ada masalah pada janin beliau,” tulisnya.
Bagaimanapun, gadis tersebut enggan mengambil tindakan terhadap peniaga produk tersebut kerana menganggap perkara tersebut sudah pun terjadi dan tidak mahu menjejaskan pendapatan peniaga itu.
“Tapi sejujurnya, memang aku sudah bosan dengan produk-produk sebegini yang melambak di pasaran. Produk-produk yang mengandungi bahan terkawal dan berbahaya,
“Namun dijual secara berleluasa. Dengan testimoni-testimoni yang indah-indah, Kanser pun boleh sembuh. Kencing manis pun jadi tawar.
“Padahal mengandungi bahan seperti steroid, yang penggunaan secara kronik dan tidak terkawal dosnya menyebabkan kerosakan buah pinggang.
“Akhirnya datang ke hospital juga, dan kami juga yang perlu merawat pesakit-pesakit yang menjadi mangsa kepada kapitalis tidak beretika seperti ini,” tulisnya.
Jelasnya, gambar yang dimuat naik di Facebooknya hanyalah carian di Google namun sudah cukup jelas memaparkan keadaan yang sama berlaku pada wajah gadis berkenaan.
Perkongsian oleh Dr. Mohd. Syamirulah Rahim ini wajar dijadikan pengajaran kepada wanita terutamanya yang menggunakan produk kecantikan yang tidak diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Baru-baru ini, KKM menggesa orang ramai tidak lagi beli dan menggunakan produk kosmetik Tati Skincare Krim Malam dan Krim Rawatan serta Moleek Skincare Krim Anti Pigmen yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Dua produk kosmetik ini mengandungi hydroquinone dan tretinoin serta merkuri yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik. – MYNEWSHUB.CC