KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan hasratnya mahu mengubah pemikiran peminat dan pihak yang terlibat dengan bola sepak seperti satu ‘pertempuran’.
Menurutnya ini dapat dilihat dengan adanya peminat serta pihak tertentu yang mula merungut terhadap beberapa langkah pembaharuan yang cuba dilaksanakan bagi merubah senario bola sepak negara.
“Kejayaan bukanlah mustahil…mengubah pemikiran ini sebenarnya ibarat sebuah pertempuran. Suatu waktu dahulu semua mahukan sangat perubahan, hendak itu hendak ini.
“Sekarang perubahan telah dilakukan dan sudah tahu punca dan masalah dari dalaman. Tahu bagaimana kita hendak mengubah struktur, tahu bagaimana hendak dipertingkatkan dan pada masa sama pasukan lain juga perlulah bersikap profesional.
“Kalau beginilah keadaannya, kena sentiasa menjaga hati semua pihak, memang takkan ke manalah bola sepak Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tunku Ismail turut merujuk kepada pemilihan jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong yang ada antaranya mengatakan ia adalah untuk mensabotaj pasukan Kedah yang kini mempunyai prestasi baik dalam saingan Liga Malaysia.
Menurutnya, Cheng Hoe adalah jurulatih tempatan yang tersenarai sebagai jurulatih terbaik buat masa sekarang, sekali gus calon sesuai untuk membantu ketua jurulatih skuad Harimau Malaya nanti.
“Saya sudah menetapkan satu dasar di mana setiap jurulatih luar negara perlu dibantu jurulatih tempatan. Bukankah Tan Cheng Hoe sekarang adalah jurulatih tempatan yang bagus?
“Saya sedang melakukan yang terbaik untuk skuad kebangsaan tetapi penyokong semua bising kata ‘jangan ambil dialah’, ‘pilih orang lainlah’.
“Bukankah untuk memilih yang terbaik bagi membimbing pasukan kebangsaan adalah keutamaan kita? Betulkah anda semua sayangkan pasukan kebangsaan? Dan betulkah anda semua inginkan perubahan? Apa yang anda semua nak sebenarnya?” katanya.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor itu juga meminta semua pasukan bersikap profesional untuk menerima perubahan yang akan dan telah dilakukan demi masa depan bola sepak.
Katanya, terdapat sesetengah pasukan tidak boleh diambil tindakan berikutan kesalahan yang dilakukan kerana atas dasar berkawan rapat dengan exco, dan kerana undi merekalah exco tersebut dapat jawatan tersebut.
“Kalau masih tidak boleh mengubah pemikiran, masih hendak jaga hati kawan, kena tindakan denda pun tak boleh walaupun telah melanggar syarat dan peraturan, jadi lupakan sahaja perubahan.
“Selama 30 tahun dahulu merungut kerana tak boleh hendak cakap apa-apa dan tak tahu perkembangan persatuan. Sekarang apabila dah tahu pun masih merungut,” katanya. – BERNAMA