NEW DELHI – Malaysia menitikberatkan pembangunan ekonomi digital dan bioekonomi yang menjadi komponen asas pertumbuhan ekonomi semasa dan masa depan negara itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bercakap pada Mesyuarat Tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) kali ketujuh di sini, hari ini, Perdana Menteri berkata atas kesedaran itu, tema atau tumpuan tahun ini berteraskan kepada usaha mempertingkatkan aspek ekonomi digital dan bioekonomi.
Malah, di India misalnya, kedua-dua teknologi tinggi itu mempunyai trajektori pertumbuhan yang ketara manakala syarikat India juga bertapak kukuh serta melabur di Malaysia, katanya.
Najib yang dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke India turut berkongsi pengalaman beliau melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di dunia, di luar China, baru-baru ini.
“DFTZ yang merupakan hasil kerjasama dengan syarikat e-dagang terkemuka, Alibaba adalah di peringkat awal dan akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan perkhidmatan tambahan dalam talian dan digital bagi kemudahan e-dagang antarabangsa serta memacu inovasi berasaskan internet,” katanya.
Mengulas selanjutnya, Najib berkata Malaysia juga melihat bioekonomi sebagai bidang yang memiliki potensi besar berikutan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki negara serta kepentingan pertanian dan industri berasaskan tani kepada ekonomi serta rakyatnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyifatkan langkah mengadakan GSIAC di India yang disertai pakar akademik terkemuka, para pemikir dan pemimpin serta ketua industri akan dapat mengetengahkan pandangan penting bagi memacu pembangunan ekonomi digital dan bioekonomi untuk Malaysia.
Malah, berdasarkan beberapa statistik dan laporan ekonomi yang menunjukkan pertumbuhan ketara Malaysia dalam pelbagai bidang biarpun berdepan cabara semasa, Najib yakin negara ini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran sebagai negara berpendapatan tinggi dalam beberapa tahun akan datang.
“Apa yang kita perlu lakukan adalah sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi perubahan keadaan dan kejutan luaran yang di luar kawalan. Kita juga perlu
mengekalkan momentum untuk terus maju,” katanya.
GSIAC ditubuhkan dan mengadakan mesyuarat pertama pada 17 Mei, 2011 di New York ketika Malaysia menekankan keperluan untuk memperluaskan rangkaian bagi tujuan kerjasama penyelidikan, pakatan strategik dan hubungan perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa. – BERNAMA